UMNO bergerak solo dalam PRU bila kembali kuat - Mohamad

Iklan
Mohamad

JOHOR BAHRU - Tidak mustahil UMNO yang hanya menang 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan kembali kuat masa akan datang dan mampu bertanding secara solo pada PRU.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut boleh dilakukan selepas parti keramat orang Melayu itu kembali kuat dan berpengaruh.

Iklan
Iklan

"Kalau kita dah kuat pada ketika itu, kenapa tidak? Tidak ada masalah, nilai diri kita pada ketika itu, bukan sekarang, sekarang adalah proses memperkuatkan dan memperkukuhkan parti terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Bahagian UMNO Johor Bahru di Opero Hotel, Southkey di sini pada malam Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Mohamad (kiri) dan Yahya (tengah) secara simbolik menyempurnakan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Johor Bahru di Hotel Opero, Southkey, Johor Bahru pada malam Sabtu

Mohamad berkata, UMNO perlu memperkuatkan parti terlebih dahulu dan tidak menyanggah antara satu sama lain terutama bagi mempersiapkan parti menghadapi PRU16.

Iklan

Katanya, masih ada lagi UMNO bahagian yang berpecah-belah dan bersengketa hingga menjejaskan UMNO yang ketika ini melalui fasa memperkukuhkan parti.

"Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana tempoh PRU16 pada 2027 tidak begitu jauh, mungkin ia boleh diadakan lebih awal, ketika UMNO masih bermasalah.

"Jadi, marilah kita kembali merapatkan saf dan kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu, agenda parti yang diwarisi ini perlu diteruskan sebagai tempat berlindung bangsa Melayu," katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan UMNO Johor untuk mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu dan kekal mentadbir negeri ini bagi penggal yang akan datang.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, ini bagi membolehkan segala usaha memajukan negeri ini termasuk inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak jatuh ke tangan pembangkang.

Bagi mencapai hasrat itu katanya, UMNO Johor perlu terus memperkuatkan parti bagi memenangi hati rakyat seterusnya mengekalkan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

"Jangan ada sengketa dan perselisihan yang membawa kepada keadaan berpecah belah dalam parti, itu adalah formula untuk kita kekal kuat.

"Kita risau segala yang diusahakan untuk membangunkan negeri ini termasuklah JS-SEZ tidak dapat dikecapi, orang lain yang makan hasilnya, menyesal tak sudah kemudian hari," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!