Gantikan dengan Speaker lebih adil - Zaid Ibrahim

Iklan
Tangkap layar hantaran dimuat naik Zaid Ibrahim di X pada Ahad.

SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker perlu diganti dengan individu yang tidak berat sebelah dan bersikap lebih adil.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, tiada undang-undang atau peraturan mampu menggantikan etika dan tingkah laku kerana fungsi institusi kerajaan, termasuk Parlimen hanya boleh berlaku apabila mempunyai penjawat awam yang jujur dalam menjalankan tanggungjawab.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sudah bersuara mengenai cara Speaker, Tan Sri Johari Abdul mengendalikan Akta Anti Lompat Parti.

"Kedua-dua mengulas secara kritis dan sopan. Untuk tidak mengecewakan pemimpin atas, Mohamad cadang kaji semula Akta Anti Lompat Parti dan pilihan raya semula atau 'recall election'. Ia alternatif yang baik, tetapi kita tak mampu.

Iklan

"Johari pula meminta kerajaan perkasa akta ini bagi mengelakkan kelompongan, masalah teknikal atau kekurangan dalam peruntukan sedia ada. Katanya lompat parti boleh menakutkan pelabur.

"Jika UMNO merasa yakin dengan isu ini, Kerajaan Madani tiada pilihan lain kecuali membenarkan Parlimen memilih Speaker Dewan Rakyat yang baharu,” katanya menerusi hantaran di X pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, Mohamad ketika sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara, Felda Sungai Sayong memaklumkan, andai ‘recall election’ dilaksanakan, kuasa pemilihan diberikan semula kepada rakyat bagi mengekang tindakan lompat parti wakil rakyat.

Katanya, jika ada ahli Parlimen tidak sehaluan dengan parti, pengundi boleh mengemukakan referendum atau petisyen yang memerlukan lebih 50 peratus tandatangan agar wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi serta-merta.

Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa menegaskan, tindakan mana-mana wakil rakyat bertukar parti selepas memenangi pilihan raya wajar dinoktahkan agar kestabilan politik terjamin.

Sementara itu, Zaid berpandangan, sudah tiba masa untuk UMNO bertindak seperti Sarawak dengan menumpukan perkara penting sahaja demi kebaikan negara.

"Jadikan peranan UMNO penting sebagai parti yang bersama dengan kerajaan,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!