Kenal pasti infrastruktur luar bandar belum dibaik pulih

Iklan
Rubiah (kiri) menyampaikan sijil kepada graduan pada Majlis Graduasi Kolej KEDA ke-12 di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary di sini pada Ahad.

ALOR SETAR - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meminta semua pihak berkaitan membuat tindakan susulan dengan mengenal pasti infrastruktur luar bandar yang rosak akibat banjir, namun belum dibaik pulih.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, pihaknya bersedia untuk menyiasat dan mempertimbangkan semula sebarang cadangan atau permohonan untuk diambil tindakan berikutan kerosakan berlaku.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya, KKDW ini penuh komitmen (dan) rasa tanggungjawab khususnya terhadap pembangunan luar bandar.

"Kita tidak menafikan banjir ini banyak menjejaskan kehidupan, banyak menjejaskan infra (dan) kadang-kadang emosi pun sama terjejas," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Graduasi Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ke-12 di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary di sini pada Ahad.

Rubiah berkata sedemikian ketika mengulas rungutan masyarakat di daerah Baling khususnya di Kampung Iboi berikutan ada kerosakan infrastruktur didakwa masih belum dibaik pulih selepas dilanda banjir pada 2022.

Iklan

Sehubungan itu, beliau memberitahu, KKDW sentiasa ambil perhatian isu dilalui penduduk setempat terutamanya melibatkan kawasan luar bandar, sekali gus segala cadangan akan dianalisis.

Bagaimanapun, tambah Rubiah, sesuatu bantuan tidak hanya melibatkan KKDW sahaja, malah ia juga di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Beliau menjelaskan, isu luar bandar khususnya infrakstruktur memang di bawah tanggungjawab KKDW, namun ada perkara berada di bawah jabatan ataupun kementerian lain.

"Kita juga ada kekangan peruntukan, namun begitu apa yang dimaklumkan kepada kita, kita siasat.

"Kalau relevan memang kita akan baik pulih, maksudnya kalau bersesuaian. (Sebagai contohnya) baik pulih rumah, yang memerlukan tanah (maka) ia (isu berkaitan tanah) perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!