JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis trafik parah selepas dilanggar seorang lelaki yang memandu kereta dipercayai dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.05 pagi semasa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu sedang mengawal aliran trafik sejurus berlaku satu kemalangan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas satu kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya.
"Semasa proses penundaan sedang dilakukan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Wira warna perak dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis trafik yang sedang berdiri di sebelah trak tunda," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Raub berkata, akibat kemalangan itu mangsa berusia 30-an tercampak atas cermin hadapan Proton Wira berkenaan sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan patah tulang pinggul sebelah kiri serta luka di beberapa anggota badan.
"Pemandu kereta berkenaan yang berusia 30-an pula mengalami kecederaan ringan.
"Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol, manakala saringan air kencing pula negatif dadah," katanya.
Tambah beliau, kes itu disiasat bawah Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 iaitu memandu bawah pengaruh alkohol.
"Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kemalangan agar tampil ke balai trafik IPD Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014-6977122," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!