TUMPAT - Seorang anggota trafik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, patah paha kiri selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah van dalam kemalangan di jalan Kubang Panjang di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, mangsa sedang melakukan tugasan rasmi kawalan lalu lintas sempena lawatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisoner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian anggota yang menunggang motosikal jenis CBX750 dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor atas tugasan rasmi kawalan lalu lintas menteri.
"Setiba di lokasi kejadian, sebuah van jenis Vannette dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang berada di depan motosikal anggota polis itu telah membelok ke kanan.
"Mangsa cuba mengelak kenderaan itu, namun gagal sebelum merempuh pintu van tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan anggota polis itu patah pada paha kirinya.
Ujarnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Mohd Khairi memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit boleh menghubungi pihak polis di talian 09-7257222.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!