Kompromi Bersatu elak krisis dalaman

Iklan
Gambar kecil: Jeniri Amir

SHAH ALAM - Kesepakatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membabitkan kepimpinan kanan parti itu dilihat sebagai strategi terbaik untuk meleraikan kekusutan dan mengelakkan krisis dalaman.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, persefahaman dan kompromi dalam kalangan mereka juga mengambil kira dan mengiktiraf kedudukan serta pengalaman tokoh yang terlibat untuk memastikan parti itu dapat bergerak ke hadapan.

Iklan
Iklan

Pendekatan itu katanya, diambil bagi memastikan situasi menang-menang, seterusnya mengelakkan berlakunya krisis yang lebih teruk dalam parti tersebut.

"Saya melihat keputusan itu adalah yang terbaik buat semua pihak dan parti. Jika diadakan pertandingan untuk merebut jawatan berkenaan, kita bimbang ia boleh mewujudkan perpecahan dan puak, seterusnya melemahkan Bersatu kemudiannya.

Iklan

"Bagi (Datuk Seri Ahmad) Faizal (Azumu), saya fikir ia satu pengorbanan yang perlu dilakukan oleh beliau dan percaya ia setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada presiden parti.

"Itu sahaja jalan terbaik untuk memastikan peranan yang dimainkan oleh (Datuk Seri) Hamzah (Zainudin) itu dapat dilakukan secara efektif lagi kerana kita lihat, hakikatnya ialah Hamzah dilihat sebagai tokoh yang lebih menyerlah, terutamanya dalam konteks perbahasan di Dewan Rakyat,” katanya pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal ‘naik pangkat’ dengan menyandang jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.

Ditanya mengenai jawatan Setiausaha Agung Bersatu yang akan ditawarkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Jeniri menjelaskan, pemilihan itu tepat berdasarkan pengalaman luas bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

"Saya lihat kompromi ini memberi tempat kepada Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Bersatu Selangor itu menjalankan tugas sebagai Ketua Pembangkang di DUN (Dewan Undangan Negeri) dengan lebih berkesan.

"Jadi, langkah ini akan dapat mengukuhkan lagi parti dengan mengiktiraf kedudukan, kekuatan dan peranan tokoh itu untuk menggerakkan Bersatu dan PN ke hadapan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!