SHAH ALAM - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak boleh dijadikan sebagai medan percubaan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan mendoktrin pemikiran remaja dan belia agar menyokong mana-mana parti politik termasuk kerajaan untuk kepentingan agenda mereka sendiri.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok berkata, tujuan utama PLKN diadakan adalah untuk membina nilai jati diri, disiplin, patriotisme dan hubungan perpaduan dalam kalangan remaja dan belia di Malaysia tanpa mengira latar belakang politik.
Menurutnya, antara aspek yang perlu diberi perhatian dalam mengenal pasti potensi remaja serta belia adalah merangkumi pembangunan modal insan dan sosial dalam diri mereka.
"Modal insan adalah indikator yang perlu diberi perhatian dengan merangkumi pembangunan ilmu pengetahuan dan nilai jati diri para pelatih PLKN 3.0.
"Ilmu pengetahuan cukup penting kerana dapat membantu pelatih berfikir mengenai impak yang akan mereka perolehi dan bukan hanya kesan kepada diri mereka sendiri (pelatih) tetapi juga kepada negara secara keseluruhan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berfasa bermula Jun atau Julai 2025 dengan konsep dan format baharu.
Menteri itu berkata, PLKN 3.0 terbahagi kepada Fasa Pra PLKN melibatkan pelajar tingkatan empat yang akan dilaksanakan di sekolah ketika kegiatan ko-kurikulum serta Fasa PLKN Asas melibatkan remaja 17 tahun dan ke atas.
Dalam pada itu, Tuan Muhammad Zukri berpendapat, PLKN 3.0 turut perlu menekankan aspek pembangunan modal sosial iaitu hubungan antara individu dengan orang lain kerana ia penting dalam usaha pembangunan remaja dan belia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!