Pakar saran tambah baik Akta Anti Lompat Parti

Iklan
Muhammad Fathi

SHAH ALAM - Akta Anti Lompat Parti perlu ditambah baik dengan memperuntukkan perenggan (c) pada Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu keahlian seseorang ahli Parlimen terhenti dan kerusi perlu dikosongkan jika menyatakan sokongan kepada pemimpin atau parti yang berlainan.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, peruntukan itu penting supaya sesebuah kerajaan yang ditubuhkan lebih stabil dan mampu mengelak sebarang perubahan pentadbiran drastik sekiranya Perdana Menteri hilang sokongan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia kerana asas penubuhan kerajaan berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan adalah mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong berhubung kepercayaan yang diberikan oleh anggota Dewan Rakyat kepada calon Perdana Menteri berkenaan.

"Soal kepercayaan sebenarnya lebih penting daripada isu keahlian parti dalam konteks penubuhan dan kejatuhan sesebuah kerajaan. Dalam masa sama, penambahan sebab kekosongan kerusi ini dapat mengelakkan wakil rakyat mengkhianati partinya tanpa isytihar keluar parti.

Iklan

"Justeru, diharapkan semua pihak yang bertanggungjawab melaksanakan prinsip dan peraturan dalam perlembagaan untuk menjalankan amanah mengikut tujuan perlembagaan.

"Jika sebaliknya berlaku, pindaan perlembagaan mungkin diperlukan untuk memperincikan lagi peruntukan undang-undang ini agar tidak diselewengkan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa Akta Anti Lompat Parti yang diminta oleh rakyat adalah sia-sia berikutan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal sebagai wakil rakyat dan keputusan tersebut tidak dipengaruhi Kerajaan Perpaduan.

Johari dilaporkan berkata, pihaknya telah membuat kajian sebelum memutuskan perkara terbabit dan membaca semua kenyataan mengenai Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan.

Rentetan itu, ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat beramai- ramai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Johari bertindak demikian berdasarkan perlembagaan dan taksiran undang-undang secara keseluruhannya serta perkara itu sepatutnya diketahui oleh pimpinan Bersatu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!