Pesakit rebah gara-gara durian, kopi

Iklan
Antara makanan dan minuman yang perlu dielakkan selepas pengambilan durian. Gambar kecil: Dr Ahmad Samhan

PUTRAJAYA - Seorang pesakit rebah di pintu sebuah klinik kerana mengalami pening, rasa mual akibat pengambilan kopi selepas menikmati durian.

Perkara itu dikongsikan pengasas Forhimclinic, Dr Ahmad Samhan Awang menerusi aplikasi X.

Iklan
Iklan

Ujarnya, pesakit lelaki berkenaan kemudiannya masuk ke bilik konsultasi dalam keadaan mabuk, terhuyung-hayang, wajah yang pucat dan dihujani peluh di dahi.

Menurut Dr Ahmad Samhan, pesakit berkenaan memberitahu dia meminum air kopi untuk menghilangkan rasa mengantuk selepas menikmati durian pada tengah hari.

Iklan

Beliau berkata, gabungan durian dan kopi boleh menyebabkan badan berasa tak selesa dan ia dinamakan sebagai intoxication atau keracunan ringan.

"Durian mengandungi sulfur dan tinggi karbohidrat manakala kopi ada kafein yang boleh menyebabkan dehidrasi.

Iklan

"Gabungan keduanya boleh menyebabkan tindak balas yang tidak baik kepada badan kita," katanya.

Menerusi hantaran sama, beliau turut menyenaraikan makanan dan minuman yang perlu dielakkan selain kopi selepas menjamah raja buah itu.

Ia antaranya, alkohol, minuman berkarbonat, makanan berminyak, pedas, susu dan produk tenusu serta makanan tinggi protein.

Dr Ahmad Samhan yang juga pempengaruh media sosial berkata, sebagai langkah pencegahan, penggemar durian perlu menghindari pengambilan makanan dan minuman berkenaan dalam tempoh yang singkat.

"Jangan gabungkan makanan atau minuman yang boleh beri tekanan berlebihan kepada badan.

"Selepas makan durian, tunggu sekurang-kurangnya empat hingga enam jam sebelum minum kopi," jelas beliau.

Bagi rawatan mabuk akibat keracunan ringan itu, Dr Ahmad Samhan menasihati mereka yang mengalaminya memperbanyakkan minum air kosong bagi membantu menyingkirkan toksin dalam badan serta berkunjung klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut sekiranya memerlukan.

"Jadi, untuk semua peminat durian di luar sana, ingatlah untuk berhati-hati dengan apa yang anda gabungkan dengan durian," tulisnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!