KUALA LUMPUR - Seramai 43 individu beragama Islam ditahan kerana didapati mengambil minuman keras dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan di sekitar Jalan Tun H S LEE dan Jalan Metro Pudu 2 di sini.
Operasi dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan serta agensi sahabat seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, 43 individu yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan 27 wanita itu diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559).
"Selain itu, seramai tujuh individu turut ditahan mengikut Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah 1983 atas kesalahan mengambil barangan terlarang," kata kenyataan itu pada Ahad.
Menurut DBKL, hasil daripada operasi dijalankan, dua premis terbabit dikenakan tindakan tutup serta-merta mengikut Seksyen 17, Akta Hiburan (WPKL) 1992 atas kesalahan menjalankan aktiviti hiburan dan menjual minuman keras tanpa menggunakan lesen yang sah serta barangan yang berkaitan dengan perniagaan turut disita.
"DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun mengikut Undang-Undang Kecil 3(1), Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK 22(1) (d), Akta Petempatan Makanan (WPKL) 2016 serta dua Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a), Akta Hiburan (WPKL) 1992 atas kesalahan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen," kata DBKL.
Tambah kenyataan itu, semua barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!