Budi Madani: Kerajaan akan kaji jumlah bantuan tunai jika harga diesel meningkat

Iklan
Hui Ying

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji jumlah bantuan tunai subsidi diesel Budi Madani sekiranya berlaku peningkatan harga bahan bakar tersebut di masa akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, buat masa ini ketetapan jumlah bantuan tunai sebanyak RM200 sudah mencukupi bagi menampung kos diesel tambahan bulanan berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Iklan
Iklan

"Kerajaan akan mengkaji dari semasa ke semasa jumlah pemberian subsidi. Berkenaan ketetapan jumlah bantuan sebanyak RM200 sebulan, ia adalah hasil kajian mendalam dan perundingan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi dan industri.

"Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Sekiranya perlu penambahbaikan dari semasa ke semasa, ia akan dibuat bagi memastikan golongan benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN - Libaran) mengenai ketetapan jumlah bantuan tunai Budi Madani sekiranya harga diesel meningkat di masa akan datang.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai kos sebenar pembangunan Budi Madani, Lim Hui menjelaskan, sistem tersebut tidak melibatkan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan.

Iklan

"Budi Madani adalah (pembangunan) dari dalaman, jadi tiada kos yang terlibat kerana dibangunkan oleh kakitangan kerajaan. Ia adalah pembangunan dalaman.

"Sistem ini (dibangunkan) oleh LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), kita mempunyai pakar jadi tidak melibatkan sebarang kos,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!