74.73 peratus guru capai kategori pertengahan kecekapan digital

Iklan
Kah Woh

KUALA LUMPUR - Seramai 84,818 guru di seluruh negara telah mencapai kategori pertengahan dalam analisis tahap kecekapan digital sehingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kemas kini yang mencatatkan 74.73 peratus itu dilihat terus mengukuh dengan jumlah warga pendidik dijangka terus meningkat tahun ini.

Iklan
Iklan

Selain itu menurut beliau, jumlah guru pada tahap asas pula mencatatkan penurunan kepada 23.53 peratus atau 84,818 orang manakala 1.37 peratus (6,246) guru berada di tahap lanjutan.

"Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan tahun lalu menitikberatkan beberapa teras atau bahagian untuk mempertingkatkan kualiti serta prestasi, termasuk murid fasih digital, pendidik cekap digital dan pembangunan infrastruktur.

Iklan

"Oleh itu setiap tahun KPM (Kementerian Pendidikan) melakukan saringan tahap kecekapan digital ke atas warga pendidik bagi memastikan mereka mempunyai tahap kompetensi yang tinggi," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai isu kemiskinan digital dalam kalangan guru di negara ini.

Iklan

Kajian Tahap Kompetensi Digital Guru yang dilaporkan dalam dokumen Dasar Pendidikan Digital 2023 mendapati hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan, manakala pertengahan (39.9 peratus) dan asas (57.9 peratus).

Dalam pada itu, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping menjelaskan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melaksanakan latihan kecekapan digital bagi memastikan guru yang dihantar ke negeri masing-masing kompeten dan mampu mengadaptasi teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Beliau berkata, ia menjurus kepada domain kecekapan pembelajaran digital seperti digariskan 'The European Framework for the Digital Competence of Edicators'.

"Semua domain yang dijelmakan dalam bentuk kurikulum program pendidikan di IPGM dan KPM memberi komitmen untuk merealisasikan teras seperti dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Digital.

"Selain itu, pasukan petugas khas ditubuhkan khusus bagi membangunkan pendidikan digital dan mencapai hasrat dalam dasar berkenaan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!