KUALA KRAI - Seorang warga emas menerima 20 jahitan pada bahagian kepala dan telinga selepas rumahnya dihempap pokok kekabu akibat ribut di Kampung Bedal Hilir di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, Ismini Samat, 64, yang tinggal sendirian ditimpa serpihan kayu daripada bumbung rumah yang runtuh.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Pegawai Bomba Kanan II Juniman Junoh berkata, mangsa menerima empat jahitan di kepala dan 16 jahitan di telinga.
"Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra dan telah pulang ke rumah hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, kejadian ribut tersebut telah menyebabkan bahagian bilik dan ruang tamu rumah warga emas terbabit rosak teruk akibat ditimpa pokok kekabu bersaiz empat meter lebih.
Ujarnya, rumah tersebut hanya didiami oleh Ismini kerana tiga anaknya berada di luar Kelantan.
Juniman memberitahu, seramai tujuh anggota ditugaskan untuk kerja-kerja menyelamat dan membersihkan pokok tumbang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!