Muhammad Zikry perlukan bantuan rawatan RM195,000

Iklan
Keadaan kaki Muhammad Zikry sebelum ini disebabkan pemyakit genetik yang dihadapinya. (Kanan: Muhammad Zikry bersama kedua ibu bapanya ketika hadir ke pejabat One Hope Charity & Welfare baru-baru ini.)

BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Muhammad Zikry Khamis Khalid kudung kaki kiri selepas terpaksa dipotong akibat penyakit genetik neurofibromatosis jenis 1 (NF1) yang dihidapi.

NF1 adalah penyakit jarang jumpa yang menyebabkan bahagian kulit dan tulang menjadi tidak normal selain menyebabkan ketumbuhan besar atau kecil di bahagian saraf neural yang boleh berlaku di otak, saraf tunjang dan urat saraf kecil atau besar.

Iklan
Iklan

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Muhammad Zikry dilahirkan normal, namun tanda penyakit itu dikesan semasa berusia lapan bulan apabila kaki kirinya semakin membesar akibat plexiform neurofibroma atau lebihan isi kulit.

Menurutnya, remaja itu kemudiannya disahkan menghidap NF1 dan perlu menjalani pembedahan laparotomi untuk membuang plexiform neurofibroma di perutnya pada usia empat tahun.

Iklan

"Semasa usia lapan tahun, Muhammad Zikry terpaksa menjalani pembedahan sendi pinggul untuk membuang plexiform neurofibroma di bahagian bawah kaki kirinya.

"Selama bertahun-tahun, dia mengalami keadaan seperti sindrom cauda equina yang menyebabkan dia mengalami pundi kencing neurogenik (tidak berfungsi) dan skoliosis atau tulang belakang bengkok lebih 70 darjah.

Iklan

"Ibu bapanya tidak berani membenarkan pembedahan tulang belakang dijalankan kerana doktor memberitahu kadar kejayaan adalah 50 peratus sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sui Hau berkata, bapa remaja itu yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan, Khamis Khalid Ahmad Fadzil, 48, juga merupakan penghidap neurofibromatosis.

Tambah beliau, keadaan Muhammad Zikry ketika ini tidak terkawal apabila tumor terus merosakkan belakang, pangkal paha dan skrotum sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak.

"Doktor mengesyorkan dia menggunakan ubat baharu bagi mengelak masalah sarafnya semakin teruk atau merebak, namun harganya terlalu mahal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu mengumpul dana sebanyak RM195,000 bagi menampung kos ubat-ubatannya dalam usaha mengelak tumor daripada terus merebak.

"Pendapatan keluarganya hanya bergantung kepada bapa yang bekerja sebagai juruteknik kilang manakala ibunya pula seorang suri rumah.

"Keluarga ini turut membesarkan seorang lagi anak perempuan berusia 20 tahun yang masih menuntut di sebuah kolej tempatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Public Bank Berhad bernombor 3201428817 atas nama One Hope Charity & Welfare.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!