SHAH ALAM - Masyarakat tidak dibenarkan untuk membunuh atau melupuskan haiwan liar kerana tindakan sedemikian adalah satu kezaliman sekiranya tidak diuruskan dengan sebaiknya.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, Malaysia mempunyai agensi kawalan makhluk perosak sama ada dari sektor swasta mahu pun kerajaan yang mempunyai lesen sah daripada Jabatan Pertanian.
Menurutnya, kehadiran haiwan liar perlu diadukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana agensi ini ada kuasa berkaitan bagi tindakan susulan.
"Kejadian yang berlaku tempoh hari (kematian dua beradik termakan keropok beracun) berlaku apabila masyarakat bertindak sedemikian.
"Ini kerana, ada cara sebenar untuk menangkap haiwan liar atau perosak ini tanpa menganiaya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, pengurusan sebaiknya penting agar tiada kehilangan nyawa berlaku sama ada membabitkan haiwan liar mahu pun manusia.
Tambah Arie, pihaknya tidak menafikan terdapat kejadian serangan haiwan liar, namun ia kes terpencil dan bila dilihat kawasan itu sebelumnya merupakan habitat hidupan liar yang memerlukan timbang rasa manusia.
"Saya nasihatkan, usah panik tetapi perlu tindakan penguatkuasaan dan pengurusan haiwan dengan cara kemanusiaan," ujarnya.
Dalam kejadian 7 Julai lalu dua beradik lelaki Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok dipercayai mengandungi racun tikus yang dipasang penduduk Kampung Padang Ubi, di Kulim.
Makanan ringan itu didakwa digantung pada pagar dawai dipasang pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman.
Dua beradik itu masing-masing disahkan meninggal dunia 10 dan 12 Julai lalu semasa rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!