PETALING JAYA - Konvensyen Dunia Fujian ke-11 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 9 November ini bakal membuka peluang perniagaan dan potensi pelaburan dalam negara.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Lim Hock San berkata, lebih 3,500 delegasi dari 20 negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan negara Eropah bakal menyertai konvensyen ini.
Menurutnya, beberapa peserta negara lain seperti Australia, New Zealand, China, Jepun selain negara-negara Asean termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Myanmar, dan Kemboja turut hadir pada konvensyen yang diadakan setiap tiga tahun.
"Dengan penyertaan peserta-peserta antarabangsa, konvensyen ini dijangka memberi sumbangan dan manfaat ekonomi yang besar, merentasi pelbagai sektor seperti pelancongan dan hospitaliti, ekonomi MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan, dan Pameran).
"Melalui forum ekonomi yang bakal diadakan membuka peluang perniagaan dan pelaburan serta memperkukuhkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat LBS Seri Setia di sini, pada Isnin.
Katanya, Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas ia diadakan di Langkawi pada 1996 yang dirasmikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Penganjuran tahun ini amat istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-30 konvensyen dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin pada 31 Mei 1974.
" Acara ini diadakan secara giliran membabitkan negara terlibat bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan, mempromosikan pembangunan bersama, membina hubungan kerjasama erat di samping pertukaran idea dan buah fikiran di kalangan komuniti Fujian dari luar negara," katanya.
Dijangka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir pada majlis perasmian yang dijadualkan berlangsung pada 9 November ini.
Selain itu, konvensyen ini dijangka menarik kira-kira 2,000 penyertaan dari wakil tempatan Fujian dan organisasi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!