KUALA LUMPUR - Sokongan moral daripada orang ramai termasuk rakyat Palestin di bumi Gaza memberi semangat kepada aktivis, M Mythreyar, 46, untuk meneruskan mogok lapar yang dilakukan di hadapan Parlimen sejak Rabu lalu.
Mythreyar berkata, dia turut terharu dengan perkongsian ucapan terima kasih keluarga Roued dari Gaza yang dizahirkan menerusi hantaran di platform TikTok pada Jumaat.
Ujarnya, meskipun tindakan mogok lapar itu telah melebihi 100 jam, dia tetap akan meneruskan protes tersebut hingga kerajaan mendengar rayuannya agar tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, BlackRock.
"Sokongan itu memberi tanggungjawab lebih berat lagi kepada saya sebab mereka, kanak-kanak Palestin dengan keadaan dibom sekeliling mereka, tetap ambil masa tulis nama saya beri sokongan, jadi itu menunjukkan mereka perlukan sokongan moral.
"Harapan saya untuk sekali seumur hidup, semua ahli Parlimen seramai 220 orang itu tolong lah bersatu hati tolak BlackRock, kalau ada usul seperti itu, saya akan balik rumah, itu sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di hadapan bangunan Parlimen pada Isnin.
Pada 5 Julai, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan Blackrock.
Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.
Dalam pada itu, Mythreyar yang berasal dari Tanjung Malim, Perak mengakui ada dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya pada Rabu lalu untuk tidak melanjutkan protes tersebut terlalu lama kerana bimbang boleh menjejaskan kesihatannya.
"Sebelum ini dia (doktor) ada tanya, saya kata mungkin (teruskan mogok selama) seminggu atau dua minggu.
"Selepas dia bagi 'drip', dia sarankan saya supaya berhenti. Kandungan gula (dalam badan) saya sudah kurang, denyut jantung pun makin kurang," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!