KEJAYAAN Argentina mempertahankan kejuaraan Copa America 2024 menjadi detik manis buat pemain berpengalaman, Angel Di Maria yang bakal menggantung but daripada beraksi di pentas antarabangsa.
Skuad La Albiceleste muncul juara setelah mengenepikan cabaran Colombia 1-0 dalam aksi final yang berlarutan sehingga ke masa tambahan di Stadium Hard Rock, Miami pada Isnin.
Pemain berusia 36 tahun itu mengumumkan untuk bersara dari pentas bola sepak dunia pada tahun lalu.
"Kebenarannya sudah tertulis, ia memang akan berakhir seperti ini," kata Di Maria.
Jaringan pemain gantian, Lautaro Martinez pada minit ke-112 sudah cukup buat Argentina merangkul kejuaraan ke-16 kejohanan tersebut.
Kemenangan Argentina juga menamatkan rekod 28 perlawanan tanpa kalah Colombia, yang mana kekalahan terakhir mereka juga berlaku ketika berdepan La Albiceleste pada Februari 2022.
"Saya mengimpikan bahawa saya akan sampai ke final dan memenanginya serta bersara dengan cara ini.
"Saya melalui perasaan yang indah dan amat gembira dengan generasi ini. Hari ini (Isnin) saya pergi (bersara) dengan satu gelaran," ujar De Maria.
Pemain pertahanan Argentina, Nicolas Otamendi, 36, juga dijangka mengikut jejak langkahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!