KLANG - Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan jumlah pengimbas haba di pintu masuk negara bagi mengesan pelancong yang memasuki negara ini yang berkemungkinan membawa koronavirus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini untuk membincangkan secara lanjut keperluan menempatkan peralatan itu di pintu-pintu masuk tanah air.
"Kita akan tingkatkan peralatan pengesanan awal (pengimbas). Kita akan mengadakan mesyuarat dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Nadma untuk melihat bagaimana kita boleh meningkatkannya lagi," kata beliau pada sidang media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 di sini hari ini.
Rumah terbuka berkenaan yang dihoskan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Dewan Perdagangan dan Industri Cina Klang (KCCCI) turut dihadiri oleh beberapa menteri kabinet.
Dzulkefly berkata, Kementerian Kewangan telah menyatakan komitmen untuk menyediakan peruntukan bagi peralatan berkenaan.
"Pengimbas ini sangat penting, setakat ini kita mempunyai 51, itulah sebabnya kami meminta Kementerian Kewangan, dalam fasa krisis ini, lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan keupayaan peralatan kami," katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) telah digerakkan ke seluruh negara untuk pemantauan dan kemas kini segala laporan yang diterima dari fasiliti awam dan swasta.
"Sehingga kini, kita merasakan tahapnya adalah terkawal, tetapi sekarang ini ada kepentingan untuk kita angkat ke peringkat Nadma,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang ditemui pada majlis rumah terbuka itu berkata, kementeriannya bercadang memanggil pemain industri dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai perkara itu. - Bernama