Kampung Angkat Madani: 152 keluarga bakal terima manfaat tahun ini

Iklan
Isham (enam dari kiri), menyempurnakan gimik perasmian Kampung Angkat Madani di Kampung Baru Pasak pada Isnin.

KOTA TINGGI - Kementerian Pertahanan (Mindef) bakal memanfaatkan peruntukan berjumlah RM2.5 juta daripada Kementerian Kewangan dalam usaha menjayakan Program Kampung Angkat Madani di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, dengan pelaksanaan program tersebut, sebanyak 152 buah keluarga dan 600 orang isi rumah di kampung berkenaan akan menerima manfaat dalam tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek berkenaan juga akan dipantau sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan keseluruhan projek berjalan mengikut garis masa yang telah dipersetujui iaitu pada Disember 2024.

"Melalui inisiatif yang telah digariskan ini, Mindef menyasarkan peningkatan taraf hidup penduduk desa sekali gus dapat merapatkan jurang perbezaan antara masyarakat desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas di kawasan desa yang terpinggir secara holistik," katanya.

Iklan
Isham (kanan) diberikan penerangan mengenai inisiatif yag akan dilaksanakan di kampung berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah menyempurnakan Sesi Lawatan Kerja ke Program Kampung Angkat Madani di Balai Raya Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ahmad Nazir Mohd Nasir.

Iklan

Sementara itu, Isham berkata, peruntukan berkenaan secara keseluruhannya adalah untuk melaksanakan 10 projek yang dirancang di kampung berkenaan seperti menaik taraf jalan raya, pemasangan lampu jalan solar di sekitar kampung, pembinaan surau baharu dan lain-lain.

"Seperti mana yang saya maklumkan, penting impaknya yang kita berikan... lampu jalan yang terang akan beri keselamatan perjalanan, kurangkan kemalangan dan balai raya lebih selesa. Surau pun sama lebih ramai boleh masuk jadi maklumat-maklumat kepada orang kampung dapat diberikan dengan lebih cepat dan lebih optimum

"Kita juga menggunakan peruntukan berkenaan bagi usaha-usaha membaik pulih lima rumah di sini, dengan setiap satu diperuntukkan sebanyak RM1,000 hingga RM17, 000 bertujuan membaiki kerosakan seperti bumbung, pendawaian semula dan lain-lain.

"Insya-ALLAH kesemua projek itu dijangka akan siap pada penghujung bulan Oktober atau November nanti," katanya.

Penduduk sambut baik Program Kampung Angkat Madani

Program Kampung Angkat Madani mendapat respon baik dalam kalangan penduduk Kampung Baru Pasak di sini yang menyifatkan ia bakal memberikan banyak manfaat kepada mereka.

Abdul Manap Abdul Rahim, 69, berkata, dia gembira kerana program sedemikian dilihat banyak membantu menangani masalah penduduk.

Abdu Manap

Malah katanya, dia bersyukur kerana terpilih menerima bantuan baik pulih rumah di bawah program berkenaan.

"Saya mula menetap di kampung ini sejak 1998, jadi masalah pendawaian elektrik dah berlarutan agak lama dan memang perlu ditukar.

"Ada plug (palam) di rumah yang tidak boleh guna sebab kadang kala lampu berkelip-kelip. Memang risau kalau berlaku lintar pintas dan sebab itulah setiap kali hujan lebat dengan petir kami akan matikan elektrik di rumah," katanya.

Isham (empat dari kanan) mengadakan lawatan ke rumah penduduk, Mohd Fuad Ehwal, 63, (lima dari kiri) pada Isnin.

Tambah Abdul Manap yang merupakan pesara tentera, dia juga gembira apabila rumahnya terpilih untuk naik taraf tandas.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga akan rasa lebih selesa, lagi pun saya ada penyakit saraf pinggang dan tapak kaki, jadi bantuan ini memang benar-benar membantu," kata bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Pasak, Mohd Ridzwan Midi berkata, kaum wanita di kampung berkenaan juga telah mengajukan permohonan melaksanakan projek cendawan dalam usaha merancakkan lagi industri kecil dan sederhana (IKS) di bawah projek Kampung Angkat Madani.

Mohd Ridzwan

"Pertamanya, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Mindef kerana memilih kampung ini sebagai Kampung Angkat Madani dan semoga apa diberikan dapat digunakan sebaiknya oleh penduduk.

"Selama ini, orang kampung keluar dari kampung untuk guna kemudahan seperti dewan dan sebagainya, tetapi selepas ini bila sudah ada dewan terbuka ini, ia boleh digunakan dan dimanfaatkan sendiri oleh penduduk.

"Surau pula semakin hari semakin bertambah jemaah kerana banyak rumah baru telah dibina di sini dan secara tidak langsung penduduk semakin ramai dapat imarahkan surau yang ada bila siap nanti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!