MELAKA - Wanita dua anak yang yang bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat lemas dalam kebakaran pada Khamis lalu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sini, pada Isnin.
Mangsa Azliha Ngah Ariffin, 40, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.50 tengah hari.
Salah seorang kakak mangsa, Rohana Ngah Ariffin, 43, berkata, mereka sekeluarga baharu selesai mengebumikan dua anak arwah dalam satu liang lahad di kampung mereka di Perak pada Jumaat lalu.
Namun menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa menerima berita sedih tentang pemergian arwah yang dianggap sebagai seorang wanita yang cekal dan berdikari dalam membesarkan dua anaknya berusia 12 dan dua tahun.
Katanya, sejak arwah dimasukkan ke hospital dia langsung tidak sedarkan diri sebelum doktor memaklumkan keadaan adiknya semakin merosot pada pagi Isnin kerana kegagalan otak untuk berfungsi.
"Walaupun sedih tapi kami reda, dan berharap proses pengebumian jenazah arwah dipermudahkan.
"Jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan di Kampung Pengkalan Pegoh, Ipoh Perak di mana anak-anak arwah dikebumikan di tempat yang sama," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini, pada Isnin.
Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan dua kanak-kanak maut manakala ibunya kritikal sesak nafas akibat terhidu asap tebal di sebuah bilik sewa di tingkat tiga, Plaza Mahkota Melaka, Banda Hilir.
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, menyebabkan dua beradik perempuan itu, Nuralia Karisa, 12, dan adiknya Zahra Abdullah, 2, disahkan meninggalkan dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, manakala ibu mereka dalam keadaan kritikal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!