ALOR SETAR - Penanaman padi empat kali setahun dapat meningkatkan hasil selain mencapai tahap sara diri (SSL) melebihi 80 peratus.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peningkatan hasil padi akan menjamin bekalan beras putih tempatan sentiasa ada dalam pasaran, selain menyebabkan negara tidak lagi perlu bergantung kepada beras import.
Menurutnya, sasaran itu akan dapat dicapai sekiranya negara mula beranjak kepada penanaman padi melebihi dua kali setahun.
"Kerajaan negeri Kedah bersedia menawarkan apa-apa bentuk bantuan yang diperlukan untuk menjayakan projek perintis tanaman padi empat kali setahun. Kita sedia bekerjasama untuk permudahkan projek berkenaan agar ia menjadi kenyataan,” katanya di sini pada Isnin.
Sebelum ini, sebuah syarikat tempatan, Koyan Utama Sdn Bhd (KUSB) bersama sebuah syarikat dari China menjalin kerjasama dalam projek perintis penanaman padi hibrid empat kali setahun.
Ia akan dilaksanakan di kawasan padi kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis dan Kedah dalam tempoh terdekat.
Muhammad Sanusi berkata, usaha syarikat berkenaan merintis kerjasama bersama syarikat China merupakan satu inisiatif yang baik dan wajar diberikan sokongan oleh semua pihak.
"Kalau ada teknologi baharu, pendekatan atau kaedah baharu untuk meningkatkan produktiviti padi, kita sokong. Sekiranya mereka perlukan bantuan, kita akan bantu mengikut bidang kuasa yang ada.
"Memandangkan projek ini libatkan kawasan MADA, tentulah mereka berurusan dengan MADA, namun jika ada keperluan (luar MADA), kita sedia bekerjasama,” ujarnya.
Menurutnya, negara kekurangan benih padi matang bawah 100 hari menyebabkan masih mengusahakan tanaman padi dua kali setahun.
"Kalau nak tanam empat kali setahun, perlukan benih matang bawah 70 hari. Benih kita 120 hari jadi tak boleh buat pusingan banyak kali sebab tanah tak sempat rehat.
"Jika nak tanam lebih dua kali setahun, kena guna benih bawah 100 hari atau 70 hari, baru boleh tanam banyak musim,” jelasnya.
Muhammad Sanusi berkata, tanaman melebihi dua musim setahun juga akan membantu mengekalkan harga beras tempatan.
"Kalau tanam banyak musim setahun, beras putih tempatan kena sentiasa ada bekalan. Jangan pula tanam banyak musim beras putih tempatan tak ada, diapungkan pula, harga jadi mahal.
"Bila pengeluaran sudah meningkat, beras putih mesti ada dalam pasaran dan harga tidak membebankan. Itulah sasaran kita. Jika selepas itu, negara masih berdepan isu sama, harga beras cecah RM40 untuk 10 kg, ia tak bawa perubahan dan tak capai sasaran,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!