Pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary dibatalkan ketika Muhyiddin jadi PM - Peguam

Iklan
Lim Guan Eng ketika hadir pada hari pertama perbicaraan kes saman yang difailkannya terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Al-Bukhary di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary dibuat semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili bekas Menteri Kewangan, Lim Guang Eng berkata, merujuk kepada surat yang ditandatangani Pengerusi Yayasan Al-Bukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada 5 Februari 2021, perkataan ‘baru-baru ini’ dalam surat tersebut membawa maksud perkara pembatalan atau pembatalan status pengecualian cukai itu berlaku ‘baru-baru ini’.

Iklan
Iklan

"Sebelum defendan (Muhyiddin) menyiarkan tiga kenyataan berunsur fitnah itu, defendan tahu mengenai kandungan sebenar surat dikeluarkan Tan Sri Syed Mokhtar bertarikh 5 Feb 2021,” katanya.

Ngek Seong berkata demikian dalam pernyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes saman difailkan Guan Eng terhadap Muhyiddin, berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Al-Bukhary.

Iklan

Beliau berkata, surat daripada Syed Mokhtar tidak langsung menyatakan bahawa plaintif (Lim) atau Kerajaan Pakatan Harapan (yang jatuh pada penghujung Februari 2020) sebagai orang yang bertanggungjawab dengan pembatalan tersebut.

"Dalam mana-mana keadaan, tiada satu bukti atau dokumen pun yang boleh membuktikan plaintif yang menyebabkan pengecualian cukai diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary dibatalkan.

Iklan

"Malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat kenyataan pada 21 Mac 2023 di Parlimen, yang membongkar dan mendedahkan kenyataan fitnah defendan yang palsu.

"Anwar menjelaskan kepada Parlimen bahawa plaintif tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary,” kata peguam itu.

Sementara itu, Ngek Seong berkata, keterangan yang akan diberikan di mahkamah dengan jelas akan menunjukkan bahawa pembelaan difailkan defendan semuanya penuh dengan pembohongan, tidak berasas, tidak disokong dan pembelaan oleh Muhyiddin adalah pembelaan palsu.

"Oleh kerana defendan tahu atau sepatutnya mengetahui kandungan surat dikeluarkan Tan Sri Syed Mokhtar kepada defendan, satu-satunya penjelasan mengapa defendan terus mengeluarkan kenyataan fitnah secara terang-terangan dengan menyerang plaintif adalah demi survival politik defendan. Ini penting bagi defendan kerana defendan ketika itu berhadapan kemungkinan didakwa di mahkamah,” katanya.

Guan Eng dijadualkan untuk memberikan keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, pada sesi sebelah petang.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook membabitkan Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai. - Bernama