SHAH ALAM - Menggunakan cermin gelap selain cermin bas retak merupakan antara kesalahan tertinggi dikesan sepanjang pelaksanaan operasi khas bersepadu kenderaan pelancongan dan perkhidmatan awam yang dijalankan sejak 2 Julai sehingga Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 1,613 kenderaan diperiksa dalam operasi ini melibatkan 987 bas ekspres dan 626 bas persiaran.
Menurutnya, statistik yang direkodkan itu melibatkan operasi, rondaan dan pemeriksaan di beberapa lokasi seluruh negeri ini antaranya Terminal Bas Jalan Reko dan Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam.
"Statistik merekodkan sebanyak 236 kesalahan dikesan melibatkan penggunaan cermin gelap (54), cermin retak (24), ubah suai nombor pendaftaran (9) dan cukai jalan, lesen memandu tamat tempoh masing-masing tiga saman serta pelbagai kesalahan lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, pelaksanaan operasi ini dilihat berkesan khususnya dalam memastikan keadaan bas dalam sentiasa selamat ketika menuju destinasi.
"JPJ mengingatkan pelaksanaan operasi ini bagi memastikan peraturan yang sedia ada dipatuhi oleh semua pihak.
"Soal keselamatan kenderaan dibawa amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dan ia bukan sahaja kepada pemandu itu sendiri malahan penumpang dan seluruh pengguna jalan raya," katanya.
Dalam pada itu, Azrin berkata, penguatkuasaan sentiasa dilaskanakan secara berterusan malah sentiasa dipertingkatkan dari masa ke masa.
"Seramai 72 anggota dan pegawai JPJ bertugas sepanjang operasi ini dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
"Penumpuan operasi turut diberikan melibatkan beberapa lokasi hotspot yang dikesan berlakunya kekerapan kemalangan di negeri ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!