JOHOR BAHRU - Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dicekup kerana menunggang motosikal sambil melalukan pelbagai aksi berbahaya 'wheelie' dan 'superman' dekat Jalan Skudai, Pantai Lido awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Raub Selamat berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Samseng yang dijalankan bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bermula jam 5 petang Ahad hingga 4 pagi Isnin.
Menurutnya, jalan berkenaan dikenal pasti antara kawasan tumpuan golongan remaja melakukan aksi 'wheely', 'superman' dan menunggang secara zig zag serta pelbagai aksi yang membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain.
"Dalam operasi itu, seramai 54 individu bersama 49 kenderaan telah diperiksa dan 34 daripadanya disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi pemeriksaan lanjut.
"Sebanyak 73 saman Pol. 257 atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan seperti tidak mempunyai lesen memandu, ubah suai struktur kenderaan dan lain-lain kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, dalam operasi terbabit tiga lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 28 tahun yang melakukan aksi berbahaya terbabit ditahan.
Beliau menambah, tiga individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987.
"Sementara itu seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu. dan kes disiasat di bawah Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!