SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi bayangan bahawa parti itu masih memerlukan khidmat bekas ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digantung keahliannya baru-baru ini.
Beliau mempercayai bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu masih mempunyai peranan dalam parti berkenaan.
"Saya percaya Tajuddin masih lagi ada peranan dalam UMNO, saya boleh cakap sekadar itu. Kita tak boleh nafikan beliau ada jasa, walaupun apa yang dia hadapi, yang itu (jasa) kita tak boleh padam.
"Kita sentiasa menghargai pemimpin kita dalam parti atau yang sudah tinggalkan atau sedang hadapi (penggantungan) macam Tajuddin," katanya menerusi satu hantaran video pada Isnin.
Beliau berkata demikian semasa mengunjungi Tajuddin di kediamannya di Kampung Gajah, Pasir Salak pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan Tajuddin meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengotakan kata-katanya untuk sedia menerima semula mana-mana ahli dan pemimpin UMNO yang digantung atau dipecat daripada parti.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu digugurkan keahlian parti pada September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti berkenaan menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan memperincikan punca tindakan itu diambil terhadap bekas Timbalan Menteri Pertanian berkenaan yang pada 21 Julai 2023, dilapor mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun tidak dibalas.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan, menjelaskan beliau memelihara persahabatan yang terjalin.
"UMNO ini sebuah parti yang membangunkan persahabatan, persaudaraan dan setia kawan. Yang mengikat kita semua adalah soal perjuangan kita untuk membawa kebaikan kepada bangsa kita.
"Atas sebab itulah kita masih pelihara persahabatan itu,” ujarnya.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata, jika isu penggantungan keanggotaan Tajuddin dibangkitkan, ia perlu dibincangkan di peringkat jawatankuasa pengurusan UMNO terlebih dahulu sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat keputusan.
"Jika ada perkara ini dibangkitkan jawatankuasa pengurusan akan pertimbangkan terserah kepada MKT untuk mengesahkan," katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!