Suami isteri ditahan disyaki salah guna jawatan untuk projek lebih RM200,000

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan sepasang suami isteri disyaki menyalahgunakan jawatan dalam sebuah agensi untuk mendapatkan projek pembekalan bernilai lebih RM200,000.

Menurut sumber, lelaki terbabit ditahan di pejabatnya kira-kira 12 tengah hari tadi manakala isterinya ditahan kira-kira 1 tengah hari di kediaman pasangan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2022 hingga 2023 melibatkan beberapa jenis kerja pembekalan berbeza.

"Suspek lelaki yang bertugas di sebuah agensi di negeri ini disyaki menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga milik syarikat isterinya bagi mendapat kerja-kerja pembekalan di tempat kerjanya yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM200,000,” katanya.

Iklan

Sumber itu memaklumkan SPRM Terengganu kini sedang meneliti kerja-kerja pembekalan lain yang diperoleh syarikat terbabit daripada agensi berkenaan.

Sementara itu Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan suami isteri berusia sekitar 30-an itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Iklan

Hazrul Shazreen berkata, pasangan suami isteri itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok untuk permohonan reman dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan susulan berhubung kes berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!