BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berdepan cabaran pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam Kumpulan A, pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Saingan tersebut diputuskan menerusi undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pada Isnin.
Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kelima dunia memiliki lapan rekod pertemuan dengan Wei Keng-Chang yang menyaksikan enam kemenangan berpihak beregu dari China itu.
Kali terakhir mereka membuat perhitungan adalah di Piala Thomas pada Mei lalu yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan 15-21, 21-12, 21-17.
Turut berada dalam kumpulan tersebut ialah Ben Lane-Sean Vendy dari England dan pasangan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura.
Beregu England itu berada di ranking ke-18 dunia dan di atas kertas Aaron-Wooi Yik mempunyai rekod kemenangan 4-1.
Adam-Yakura yang berada di kedudukan ke-32 dunia pula belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa dalam edisi 2020 di Tokyo empat tahun lalu sebelum merangkul kejuaraan dunia pertama buat negara pada 2022.
Badminton dijadual membuka tirai saingan di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 4 Ogos ini.
Berdasarkan format pertandingan dua pasangan teratas dari empat kumpulan akan meraih slot ke suku akhir.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!