Malaysia-Uzbekistan senada mahu segerakan kerjasama pelbagai bidang - Anwar

Iklan
Anwar menerima panggilan telefon daripada Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev kepada Anwar, tengah hari tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Uzbekistan senada mahu menyegerakan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, tenaga, pelancongan dan pendidikan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu antara yang dinyatakan menerusi panggilan telefon daripada Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev kepada Anwar, tengah hari tadi.

Iklan
Iklan

"Selain bertanya khabar, kami sempat bicarakan dan menilai kemajuan pelbagai perkara yang dipersetujui bersama, ketika kunjungan saya dan delegasi Malaysia ke Uzbekistan pada Mei.

"Kami juga senada untuk menyegerakan urusan terkait kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, tenaga, pelancongan dan pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Iklan

Selain itu, Anwar turut mengulangi jemputan kepada Shavkat untuk berkunjung ke Malaysia secepat mungkin, bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara itu.

Mengenai cadangan penganjuran Persidangan Imam Bukhari oleh Kerajaan Uzbekistan sebelum ini, Anwar juga zahirkan komitmen Malaysia untuk bekerjasama bagi menjayakan usaha murni tersebut.

Iklan

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan Malaysia terhadap dukungan berterusan Uzbekistan dalam konflik dan perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Palestin, selain isu kemanusiaan dan geopolitik di Afghanistan.

Pada Mei, Anwar mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Uzbekistan atas jemputan Shavkat.

Malaysia dan Uzbekistan menikmati hubungan rapat yang terjalin sejak 1992.

Pada 2023 jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan ialah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (AS$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (AS$414,518). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!