BERBAKI kurang dua minggu menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley mengakui masih banyak perlu dilakukan bagi mempersiapkan pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk bersaing.
Bagi meningkatkan keupayaan dan kelajuan, Beasley menekankan pentingnya menganalisis video untuk memperhalusi kelebihan taktikal dimiliki pelumba wanita berusia 20 tahun itu di trek.
"Persediaan Nurul Izzah berjalan lancar seperti diharapkan. Keputusan untuk memperbaiki (taktikal) mengambil lebih masa berbanding kelayakannya ke Paris, namun sekurang-kurangnya dia mempunyai lebih banyak masa untuk memperbaiki isu-isu taktikal yang timbul.
"Kita juga sedang memperbaiki teknik kayuhan di selekoh, secara teknikalnya masih banyak ruang untuk meningkatkan kelajuannya," katanya kepada Bernama
Walau tidak meletakkan sasaran khusus, Beasley yakin perlumbaan di Paris akan mempersiapkan 'The Pocket rocketwoman' itu bagi penyertaan seterusnya di Olimpik Los Angles 2028 (LA 2028).
Menurut Beasley, pada usia Nurul Izzah yang masih muda kerjaya dalam sukan berbasikal trek masih baru, selepas menyertai program itu dua tahun lepas dengan kira-kira 20 perlumbaan diseertainya.
"Nurul Izzah masih baru pada perlumbaan antarabangsa. Sekurang-kurangnya 50 perlumbaan perlu disertai sebelum dapat memahami apa yang anda lakukan dan di mana anda perlu berada pada masa tertentu dalam perlumbaan.
"Kemudian, barulah anda dapat memahami kekuatan dan kelemahan, dan bagaimana menggunakan keupayaan itu untuk berdepan lawan," katanya.
Nurul Izzah bersama-sama Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Olimpik Paris dan acara berbasikal trek akan membuka tirai pada 5 Ogos di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome.
Ketika ini, skuad berbasikal trek negara sedang membuat persiapan akhir di Mallorca sebelum berlepas ke Paris pada 1 Ogos.
Sukan Olimpik Paris bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos. - Bernama