KENAIKAN gaji kepada 1.5 juta penjawat awam akan dilaksanakan oleh kerajaan pada 16 Ogos depan memberikan berita gembira buat pekerja dalam sektor swasta pelbagai bidang.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu hantaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di laman X pada Isnin selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat sektor awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober.
Ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan.
Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.
Peratus kenaikan gaji yang melebihi 13 peratus itu mungkin untuk memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 untuk satu bulan.
Ia memberikan kesan positif dalam ekonomi dengan merangsang pertumbuhan sektor swasta sekali gus ia mampu membantu negara dalam memulihkan ekonomi secara tidak langsung.
Penjawat awam yang bakal menerima kenaikan gaji lebih tinggi mungkin akan mempunyai niat untuk mengubah gaya kehidupan supaya lebih selesa, namun mereka diingatkan agar tidak berlebihan untuk membelanjakan diri sendiri termasuk keluarga.
Justeru, setiap pekerja yang bakal menerima durian runtuh pada Ogos depan dinasihatkan agar tidak menukar gaya hidup untuk kelihatan lebih mewah sedangkan masih mencatu-catu barangan keperluan.
Dengan mengekalkan gaya hidup yang sederhana, penjawat awam semestinya akan memiliki kehidupan yang bahagia bersama keluarga masing-masing.
Selain itu, kenaikan gaji mereka juga menyebabkan persaingan yang lebih baik bagi bakat dalam pasaran kerja sekali gus ia akan menarik bakat baharu ke dalam perkhidmatan awam serta mengekalkan pekerja berkualiti tinggi.