BANGKOK - Seorang lelaki tergamak membunuh isterinya sehingga mati dengan sebatang kayu selepas marah kerana dia tidak mandi di sebuah rumah di Ban Tab Tao, daerah Mueang, Thailand, lapor KhaoSod.
Penyiasat di Balai Polis Mueang Roi Et, Leftenan Phayung Kulkhamsaeng berkata pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 10.50 malam waktu tempatan pada Ahad mengenai serangan sehingga mengakibatkan kematian.
Tambahnya, sejurus polis dan pakar perubatan tiba di lokasi kejadian, mangsa dikenali sebagai Praitun, 44, ditemui meninggal dunia di dalam bilik air di rumah berhampiran.
Hasil siasatan awal, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat dipukul dengan objek tumpul. Kemudian mayat Praitun dihantar ke Unit Forensik Hospital Roi Et untuk tujuan bedah siasat.
Suspek dikenali Watcharin, 53, ditahan polis ketika bersembunyi di dalam bilik air rumah berdekatan.
Menurut jiran, pasangan itu ditemui kerap minum arak bersama dan sering bergaduh semasa mabuk. Pada hari kejadian, pertengkaran berlaku apabila Watcharin menyuruh isterinya pergi mandi.
Semasa disoal siasat, Watcharin mengaku bersalah memukul isterinya dengan sebatang kayu, tetapi tidak menyedari isterinya mati serta merta di lokasi mereka bergaduh.
Sebelum itu, dia sempat memindahkan isterinya yang disangkakan masih hidup ke bilik mandi untuk memandikannya.
Dia yang menyedari isterinya tidak bertindak balas telah meminta bantuan daripada jiran sambil mendakwa Praitun tergelincir dalam bilik air.
Bagaimanapun, selepas disoal lanjut polis dia mengaku melakukan serangan itu dengan menggunakan batang kayu yang diletakkan di luar bilik air untuk memukul kepala isterinya itu.
Polis telah menahan Watcharin dan mengumpul bukti bagi meneruskan tindakan undang-undang. - Agensi