PUTRAJAYA - Saringan di setiap pintu masuk ke negara ini akan diperketatkan lagi dalam usaha untuk mengekang penularan koronavirus di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, anggota dan pegawai Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan ditugaskan menyaring kemasukan pelancong dari luar negara khususnya dari China.
Menurutnya, bukan sahaja pintu masuk ke negara ini terus diperketatkan malah penumpang pesawat dari negara berkenaan yang ingin keluar dari negara itu turut menjalani saringan.
"Sebelum menaiki penerbangan (ke sini) pun mereka akan disaring selain beberapa soalan yang boleh memberi sedikit maklumat kepada kita sama ada mereka berisiko (dijangkiti) atau sebaliknya,” katanya.
Wan Azizah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Coronavirus ( 2019-nCoV) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Dua kanak-kanak dari Guang Dong dikuarantin
Mesyuarat turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu berkata, Kementerian Kesihatan mempunyai fasiliti yang mencukupi muntuk melakukan proses saringan.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan mesin pengesan haba akan ditambah di pintu masuk negara.
"Kita memang nak tambah lagi (mesin pengesan haba) untuk ambil suhu bayi dan sebagainya. Kerana kita ada kekangan, kadang-kadang ada pesakit tidak menunjukkan gejala tetapi menjadi pembawa kepada virus itu.
"Berdasarkan faktor itu maka pihaknya memutuskan agar prosedur seperti bertanya soalan diperkenalkan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kebarangkalian mereka membawa itu," tambahnya.