'Geng Botak' aktif curi motosikal, didalangi remaja 13 tahun tumpas

Iklan
Sebuah motosikal yang disyaki dicuri kumpulan 'Geng Botak' yang didalangi remaja 13 tahun. Gambar kecil: Md Nazri

MELAKA - Polis Melaka menumpaskan sindiket curi motosikal yang dikenali sebagai 'Geng Botak' selepas penahanan enam remaja dalam Op Lejang sejak 4 hingga 7 Julai lalu.

Dalang kumpulan ini yang dikenali sebagai Botak berusia 13 tahun dan masih bersekolah itu ditahan bersama lima lagi rakannya berusia 14 hingga 17 tahun dalam tiga serbuan berasingan.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi berkata, bertindak atas laporan kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 di Kampung Padang Temu, sepasukan anggota Polis Dari Cawangan D4 Risikan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Melaka Tengah telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Semabok, Jambatan Duyong pada 4 Julai lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menahan tiga remaja berusia 13, 14 dan 15 tahun berhampiran dua motosikal jenis Yamaha 15ZR dan Yamaha 135 LC tanpa nombor pendaftaran.

Iklan

Katanya, hasil soal siasat ketiga-tiga suspek kemudian menunjukkan tiga lagi lokasi motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini dan sebuah lagi motosikal.

"Mereka mengaku terlibat dengan kes sedang disiasat dalam masa sama terdapat dua lagi remaja yang masih bebas dikenali Kimi dan Syawal.

Iklan

"Pada 6 Julai lalu, polis melakukan serbuan kedua di tepi jalan di Jalan Sungai Badau dan menahan suspek berusia 15 tahun dikenali sebagai Syawal dan dia mengaku terlibat dalam dua kes curi motosikal," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Tambah beliau, serbuan ketiga tepi jalan Taman Paya Rumput, Masjid Tanah kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 16 tahun juga tidak bersekolah dan seorang lagi berumur 17 tahun merupakan pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah.

"Kedua-dua suspek bagaimanapun mengaku tidak terlibat dalam kecurian sebuah motosikal jenis Modenas Kriss, sebaliknya memberi alasan menerima motosikal daripada adik rakannya yang terlibat dalam kes curi motosikal," katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati kumpulan ini bergiat aktif sejak Januari lalu dan modus operandi sindiket ini dengan mensasarkan motosikal yang diletakkan di luar rumah tidak berpagar.

"Ujian saringan urin yang dilakukan terhadap mereka didapati negatif dan dua daripada mereka yang ditahan masih bersekolah.

"Semakan rekod yang dijalankan juga mendapati kesemua mereka tiada sebarang rekod lampau dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.