WASHINGTON - Beberapa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Turkiye dalam satu kenyataan bersama pada Isnin menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Myanmar, lapor Agensi Anadolu.
"Kami amat bimbang dengan peningkatan keganasan dan konflik serta laporan-laporan yang boleh dipercayai mengenai pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia di seluruh Myanmar yang semakin memburukkan krisis kemanusiaan," kata Timbalan Wakil Tetap AS ke PBB Robert Wood kepada pemberita sambil membaca kenyataan itu.
Laporan terkini menunjukkan bahawa rejim Myanmar menggunakan orang tersingkir yang kebanyakannya adalah Rohingya, sebagai perisai manusia di tengah-tengah konflik di Rakhnie, katanya.
Wood berkata, bilangan orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan telah meningkat dari satu juta kepada 18.6 juta sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
"Lebih daripada 2.9 juta orang tersingkir dari tanah air mereka termasuk 66,000 orang yang mencari perlindungan di negara jiran," katanya sambil menggesa Angkatan Tentera Myanmar dan semua pihak yang terlibat untuk mengurangkan keganasan, menghormati undang-undang kemanusiaan dan undang-undang hak asasi manusia serta melindungi orang awam.
"Kami mengulangi gesaan untuk melibatkan diri dalam dialog yang membina dan inklusif demi mencari penyelesaian aman kepada situasi di Myanmar," kata Wood.
Pada 2017, tentera Myanmar melancarkan operasi keganasan terhadap penduduk Rohingya di utara Rakhine. Hampir 1.2 juta rakyat Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan hidup di kem pelarian yang sesak. - Bernama