KUALA NERUS - Pembinaan Kompleks Sukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kampus Gong Badak dengan kos lebih RM18 juta merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata, kompleks baharu itu akan menjadi pusat kecemerlangan pelbagai sukan termasuk memanah, bola sepak dan olahraga.
Menurutnya, ia mempunyai pelbagai kemudahan yang bakal melonjakkan pelbagai jenis sukan di universiti tersebut serta mampu melahirkan atlet sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Kita bersyukur kerana Kompleks Sukan UniSZA ini telah siap sepenuhnya pada awal Jun lepas dengan kos melebihi RM18 juta dan telah diserahkan kepada UniSZA minggu lalu.
"Insya-ALLAH, pelajar boleh menggunakan segala kemudahan dan fasiliti di kompleks ini dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Jelas beliau, pembinaan fasiliti sukan itu merupakan inisiatif penting bagi memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
Tambah beliau, dengan adanya kemudahan itu golongan pelajar dapat melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan dan riadah yang bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal bahkan dapat membentuk disiplin, kerja berpasukan serta persaingan sihat.
"Kompleks ini menyediakan kemudahan yang lengkap dan ruang latihan yang selesa seperti padang bola sepak, gelanggang tenis, gelanggang takraw, trek balapan, padang sasar memanah dan gelanggang badminton tertutup.
"Pembinaan kompleks sukan ini akan menjadi pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat besar kepada perkembangan fizikal dan mental pelajar serta menyokong kecemerlangan sukan negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UniSZA telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Memanah bagi institusi pengajian tinggi di Malaysia yang telah melahirkan atlet memanah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Justeru, katanya, semua pelajar diharap dapat memanfaatkan dan menggunakan kemudahan di kompleks tersebut dengan baik.
"Sebelum ini, kita sudah pun ada atlet yang bertaraf antarabangsa antaranya sukan memanah, bola sepak dan taekwando.
"Saya yakin dengan adanya Kompleks Sukan UniSZA yang baharu ini, kita mampu melahirkan atlet dari UniSZA sehingga ke pentas antarabangsa dalam pelbagai sukan," katanya.