KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia menggunakan khidmat guru bahasa Inggeris yang telah bersara bagi membantu meningkatkan penguasaan mata pelajaran tersebut dalam kalangan pelajar di negara ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sumbangan kumpulan berkenaan.
"Kalau sukarelawan Singapura hendak datang kita alu-alukan (dan) kalau guru bersara (bahasa Inggeris) hendak berkhidmat pun kita alu-alukan... tiada masalah.
"Malah, mereka (guru bahasa Inggeris yang telah bersara) juga banyak membantu usaha KPM dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
"Jadi, sebenarnya tiada masalah untuk kita membuka ruang kepada pesara guru untuk bersama dengan kita dan memberi sumbangan bagaimana hendak pertingkat dan mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Jimmy Puah (PH-Tebrau) yang membangkitkan keperluan untuk mengambil guru bahasa Inggeris dari Singapura dan mencadangkan supaya KPM menggunakan khidmat guru mata pelajaran tersebut yang telah bersara.
Sementara itu, menjawab soalan asal Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung perancangan khusus kerajaan berhubung cadangan membawa masuk tenaga pengajar bahasa Inggeris dari negara jiran itu, Fadhlina berkata, KPM sedang meneliti cadangan tersebut.
"KPM menyambut baik dan sedang meneliti cadangan sukarelawan ini terutama dari sudut pelaksanaan di institusi pendidikan di bawah kementerian agar perkara ini selari dengan dasar dan peraturan sedia ada.
"KPM juga akan mengenal pasti sukarelawan yang mempunyai kelayakan tertentu bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Tambahnya, inisiatif seumpama ini juga pernah dilaksanakan oleh KPM dengan melibatkan tenaga pengajar dari negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan Korea.