Selangor fokus industri tenusu, perluas ladang jagung bijirin

Iklan
Projek tanaman jagung bijirin PKPS di Kuala Langat yang berjaya mengurangkan penggantungan import makanan ternakan.


Selangor bakal menjadi pengeluar susu segar antara terbesar di Malaysia apabila projek pembangunan ladang lembu tenusu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di ladang Sungai Tengi, Hulu Selangor siap pada Januari 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, projek ladang lembu tenusu tersebut dikendalikan anak syarikat PKPS iaitu Selagro Solutions Sdn Bhd (Selagro).

Ujarnya, Selagro turut menguruskan kemasukan lembu tenusu baka Jersey-Holstein Freisian (F2) dan Ayreshire dari Australia ke Malaysia.

"Selagro menjadi ejen pengantara dan pembelian kerana mempunyai pengalaman mengimport masuk lembu tenusu dari Australia dan berurusan dengan syarikat pengeksport di negara berkenaan.

"Selagro bertanggungjawab menyediakan dokumen-dokumen yang melibatkan pengimportan masuk lembu tenusu tersebut,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian di Wisma PKPS di Seksyen 14 di sini.

PKPS optimis projek-projek ladang tenusu Sungai Tengi akan mencipta kesan rantaian yang akan menggalakkan lagi pertumbuhan industri pertanian dan jaminan makanan negara. - Gambar hiasan
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Ujarnya, sebanyak 104 lembu betina dan dua lembu jantan telah diimport masuk dari Australia dan tiba di Malaysia pada pada 25 Mei lalu.

Dua baka lembu tenusu dipilih iaitu Jersey-Holstein Freisian (F2) kerana tahan dengan keadaan cuaca di Malaysia manakala lembu baka Ayreshire pula mampu untuk menghasilkan sehingga 24 liter susu segar sehari.

"Lembu-lembu tersebut dibawa untuk dikuarantin di ladang PKPS di Merbok, Kedah bagi penempatan sementara menunggu pembinaan kandang baharu di Sungai Tengi, Selangor siap sepenuhnya,” ujarnya.

Teknologi terkini Mengulas lanjut Mohamad Khairil berkata, keluasan pembinaan ladang lembu di Sungai Tengi akan melibatkan sebahagian tanah Ladang Sungai Tengi dengan keluasan kira-kira 16 hektar.

Ujarnya, kemudahan menggunakan teknologi terkini dalam penjagaan ternakan dan perahan susu itu mampu untuk memuatkan sehingga 1200 ekor lembu tenusu dalam satu-satu masa.

"Kita bekerjasama dengan rakan strategik yang membantu memberi khidmat nasihat malah kita juga cuba teroka untuk mengambil lembu tenusu dari negara lain selain Australia,” ujarnya.

MOHAMAD KHAIRIL


Dalam pada itu, beliau yakin PKPS berada di landasan kukuh untuk mengurangkan kebergantungan kepada susu import selain menggalakkan pertumbuhan industri pertanian tempatan serta menyumbang kepada jaminan makanan di Malaysia.

"Dari segi infra, proses yang kita telah laksanakan ialah di peringkat untuk menghantar kebenaran merancang dan dijangka siap paling lewat awal Januari 2025,” ujarnya.

Dalam pada itu, PKPS juga sedang memfokuskan untuk memperluaskan ladang jagung bijirin berskala besar sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan import.

Beberapa lokasi strategik di Selangor seperti di Rawang telah dikenal pasti sebagai tapak baru untuk pembukaan ladang jagung bjirin bagi menghasilkan makanan ternakan berkualiti tinggi.

Pengukuhan sektor pertanian

Sementara itu, Mohamad Khairil menzahirkan penghargaan khas kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Lokman Hakim Ali; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bersama-sama memberikan komitmen penuh terhadap usaha PKPS.

"PKPS amat menghargai sokongan dan jalinan usaha sama antara semua pihak khususnya KPKM dan KKDW yang terus memberi kepercayaan kepada PKPS selaku salah satu agensi pelaksana Dasar Sekuriti Makanan Negara,” katanya.

PKPS optimis projek-projek ladang tenusu Sungai Tengi akan mencipta kesan rantaian yang akan menggalakkan lagi pertumbuhan industri pertanian dan jaminan makanan negara. - Gambar hiasan


Pada 26 Februari lalu, kerajaan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama KPKM bagi melaksanakan pertanian berimpak tinggi dan meningkatkan kadar sara diri komoditi makanan di Selangor dengan peruntukan berjumlah RM24 juta.

Mohamad Khairil berkata, jalinan strategik menerusi PKPS itu bagi memperkukuh agenda sekuriti makanan di bawah kerangka Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).

"Peruntukan yang akan disalurkan KPKM berjumlah RM24 juta melibatkan beberapa projek pertanian yang telah pun bermula sejak awal tahun ini.

"Antaranya ialah projek tananam jagung bijirin di Kuala Langat Selatan berkeluasan 300 ekar (121 hektar), projek pembangunan ladang lembu tenusu di ladang PKPS Sungai Tengi, projek tanaman kontan yang bernilai tinggi di Selangor Fruit Valley dan projek gedung makanan ihsan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pertukaran dokumen MoU pada majlis penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, baru-baru ini.

Mohamad Khairil berkata, KPKM akan berperanan sebagai pembiaya program serta menyediakan bantuan kepakaran, manakala PKPS akan menyediakan tanah serta peserta bagi kesemua program ini.

"Kedua-dua organisasi juga akan memperkemas peranan dalam rantaian bekalan bagi memastikan produk dapat sampai kepada rakyat pada harga berpatutan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis penutup program itu menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan bersama-sama Amirudin dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

MoU itu ditandatangani Mohamad Khairil dan Lokman Hakim.

Karnival Rakyat

Dalam pada itu, Mohamad Khairil turut mengajak orang ramai sama-sama memeriahkan Karnival Rakyat Karangkraf yang akan diadakan di pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 pada 28 Julai ini yang mana PKPS bakal menjadi rakan strategik penganjurannya menerusi slot Riuh Rewang.

Pada hari yang sama, PKPS juga menampilkan produk-produk Ehsan PKPS selain digunakan sebagai bahan utama pertandingan memasak berkenaan. Jumpa anda di sana pada 28 Julai ini!