SHAH ALAM - Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini, 25, yang ditemukan maut dibunuh selepas dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu lalu merupakan pelajar pintar dengan memperoleh Purata Gred Nilai (GPA) 4.0.
Menerusi hantaran di Facebook milik arwah, dia memuat naik skrip keputusan tahun akhir memaparkan kursus bagi Latihan Industri dan Latihan Mengajar 2 yang memperoleh gred penuh iaitu A.
"Alhamdulillah, perjuangan empat tahun sudah tamat. Banyak cabaran sepanjang tempoh pengajian ini tapi alhamdulillah masih dikuatkan jiwa dan raga untuk bertahan. Terima kasih juga untuk sahabat selalu ada susah serta senang.
"Kegigihan nak siapkan tugasan dan Projek Ilmiah Tahun Akhir (FYP) di ruang rehat pelajar walaupun saat akhir semata-mata nak siapkan kerja, jadi sekarang kita sudah nak konvo. Kepada bonda tersayang anak bonda dah besar," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, misteri kehilangan Nur Farah Kartini terungkai selepas mayatnya ditemukan di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor dipercayai dibunuh.
Pada Isnin, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga penjawat awam berusia 26 tahun.
Menurutnya, siasatan kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu seorang bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata, kejayaan arwah menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian memberi kesan mendalam terhadap kejadian yang menimpanya.
Tambah beliau, terdapat satu sumber mengatakan bahawa arwah ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan kemungkinan kehormatan diri arwah terjaga.
Bagaimanapun katanya, pihak polis perlu mempercepatkan proses siasatan untuk mengetahui motif sebenar dan segera membawa pelaku ke muka pengadilan.
"Arwah Farah Kartini baru sahaja tamatkan pengajian. Pelajar yang sangat pintar, GPA 4.0. Sebak lihat hantaran lama arwah begitu gembira dan teruja menamatkan pelajaran di menara gading.
"Bakal guru hebat ini tak sempat nak berbakti mengajar anak-anak didik. Jahat sungguh orang yang bunuh arwah," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Tambah beliau, walau apa sahaja motif atau tujuan pembunuhan tersebut ia bukan satu tiket kepada pelaku untuk melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
"Semoga pelaku dikenakan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dia lakukan dan semoga syurgalah tempatmu adik Nur Farah Kartini. Innalillahiwainnailaihiraji’un.
"Apa salah arwah sampai dibunuh? Apa dosa dia? Jahatnya si pelaku. Moga dikenakan hukuman gantung. Motif pembunuhan masih disiasat.
"Ada kata cemburu, ada kata dendam, ada kata jenayah. Apa pun sebab, ia bukan alasan untuk bunuh sesiapa," tegas beliau.
Sementara itu di ruangan komen, orang ramai turut mengakui mereka terkesan dengan kejadian menyayat hati yang menimpa Nur Farah Kartini.
Seorang pengguna @LutfiBiharAbdLatif berkata, negara kehilangan seorang bakal guru yang sangat bijak dan berkemungkinan mampu mengubah dunia pendidikan.
Begitu juga @WanDalilahWanSaaidon, walaupun tiada hubungan persaudaraan dengan arwah tetapi dia berasa terkilan dengan situasi tersebut.
"Ya cikgu, kita ini yang bukan sesiapa dengan arwah juga rasa ralatnya, sakit hati, geram semua ada... Apatah lagi perasaan mak ayah dan keluarga arwah.
"Bela (besarkan) anak sampai menara gading nak tengok anak berjaya dan berbakti tapi tak kesampaian. Arwah meninggal di bunuh memang asbab saja tapi kita tak boleh terima cara kematiannya.
"Kenapa dibunuh? Kejamnya manusia, sampai hati dia bunuh arwah... mana akal fikiran waras dia. Harap pelaku diberi hukuman setimpal dengan apa yang dia buat," katanya.