Lelaki Thailand mengaku tidak bersalah seleweng diesel

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai KPDN tiba di Mahkamah Alor Setar bagi mendengar pendakwaan terhadapnya pada Selasa.

ALOR SETAR - Seorang pemandu lori warganegara Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas kesalahan menyeleweng sejumlah minyak diesel minggu lalu.

Tertuduh, Witthaya Choochien, 29, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Thai di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan iaitu sebanyak 322 liter minyak diesel tanpa lesen di dalam tangki tambahan sebuah motolori bernombor pendaftaran Thailand.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Nurdinasafira Mohd Sakri manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Wei Yong.

Iklan

Terdahulu, Siti Nurdinasafira memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia.

Wei Yong yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya perlu menyara seorang isteri dan dua anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Noor Zaihan menetapkan 9 September depan sebagai tarikh serahan laporan kimia. Tertuduh dilaporkan membayar jaminan tersebut.