[VIDEO] Kerajaan belum sedia laksana semula GST

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana ia bersifat cukai kepenggunaan yang berasas luas dan bukan masa yang sesuai untuk diperkenalkan semula.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia tidak sesuai dilaksanakan kini kerana rakyat terutama yang berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam melaksanakan pembaharuan fiskal, kerajaan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar dan percukaian.

Amir Hamzah ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

"Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu seperti GST.

Iklan

"Sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti melaksanakan semula GST perlu diteliti untuk memastikan ia bersifat progresif.

"Seterusnya, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa yang sama dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai strategi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meningkatkan pematuhan cukai dan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST seperti negara jiran.

Mengulas mengenai meningkat pematuhan cukai, Amir Hamzah memberitahu, LHDN melaksanakan empat strategi bagi tujuan kesedaran awam tentang kepentingan membayar cukai terhadap pembangunan negara.

Amir Hamzah berkata, langkah pertama adalah dengan menjalin kerjasama bersama pempengaruh dan selebriti melalui Program Rakan Strategik Hasil.

"Strategi ini bertujuan untuk membantu menyampaikan mesej percukaian secara ringkas, kreatif dan mudah difahami khususnya kepada pembayar cukai baharu dalam kalangan generasi muda.

"Seterusnya, LHDN memberi khidmat rundingan kepada individu dan perniagaan untuk mendapatkan nasihat dan panduan pengurusan cukai," katanya.

Seterusnya, beliau memaklumkan, LHDN turut menjalankan aktiviti pemantauan secara berterusan di platform e-dagang dan media sosial untuk mengenal pasti golongan yang terlibat dengan model ekonomi digital bagi mematuhi undang-undang percukaian.

"Strategi terakhir adalah dengan menggunakan kaedah nudging seperti penghantaran mesej digital melalui e-mel secara pukal atau spesifik kepada pembayar cukai yang mempunyai risiko ketidakpatuhan cukai,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan JKDM turut meneruskan usaha memupuk pematuhan secara sukarela dalam kalangan individu dan syarikat, seperti pemberian surat peringatan secara berskala, sesi hand-holding dengan pihak terlibat serta pengauditan secara berkala.