Lagi kes remaja hilang: Polis kesan Muhammad Adi

Iklan
Polis kini sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak enam hari lalu di sini.

KUALA PILAH - Polis kini sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak enam hari lalu di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja itu, Muhammad Adi Putra Yusri pada Isnin jam lebih kurang 8.13 malam.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan siasatan remaja ini pernah keluar rumah namun pulang semula dan tiada berlaku pergaduhan dengan keluarganya sebelum ini.

"Lokasi terakhir dia dilihat adalah sekitar Ampang Tinggi dekat Tanjong Ipoh pada 11 Julai lalu. Dia memakai baju kemeja-T lengan pendek warna hijau, seluar pendek warna hitam dan berselipar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Ujarnya, fizikalnya dia berkulit hitam manis, berketinggian 180 sentimeter (cm), berbadan kurus dan berambut pendek warna keperangan.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja perempuan hilang berkenaan boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842222," katanya.

Iklan

Polis sebelum ini turut meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan, Fiffy Arnatasya Abdullah,16 yang kini masuk hari ke 19 kehilangannya.

Remaja berkenaan berkulit kuning langsat, tinggi kira-kira 150 cm, berat sekitar 45 kilogram, berbadan kurus dan berambut warna separuh perang, lurus dan panjang separas bahu.

Dia kali terakhir dilihat di Kampung Terusan, Juasseh pada 27 Jun lalu sebelum keluarganya membuat laporan polis pada keesokkan harinya.