Takiyuddin umum ADUN Rembia sertai Pas

Iklan
Muhamad Jailani (depan, enam dari kanan) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai parti itu secara rasmi.

Menurut Takiyuddin, keahlian Muhamad Jailani yang juga wakil rakyat UMNO itu diterima pada 10 Jun tahun lalu.

Iklan
Iklan

Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, keputusan Muhamad Jailani yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun itu tidak dianggap sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.

"Pada masa ini (10 Jun 2023) di Melaka belum ada undang-undang anti lompat parti. Maknanya pada masa ini siapa nak tukar parti, sebagai mana seruan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka) sebelum Julai, dia jemput ADUN PN sertai (blok kerajaan) tetapi (sebaliknya) ADUN Kerajaan Perpaduan (Muhamad Jailani) telah memohon menyertai PN melalui Pas.

Iklan

"Jadi DUN Melaka sekarang bukan ada dua wakil pembangkang tetapi tiga orang pembangkang. Ia masing-masing dari DUN Bemban, Sungai Udang dan sekarang ADUN Rembia daripada parti UMNO," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Sementara itu, ditanya mengenai sebab pengumuman dibuat selepas lebih setahun, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan itu merupakan strategi gabungan berkenaan.

Iklan

"Kita memilih untuk umum perkara ini pada masa yang sesuai.

"Semasa (sidang) Parlimen kami pakai lilitan putih ini untuk membantah keputusan daripada Parlimen apabila enam ahli PN yang jelas meninggalkan prinsip parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengikut undang-undang, dia terhenti menjadi ahli Bersatu,” katanya.

UMNO tahun lalu dilapor menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Muhamad Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai perhimpunan parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau yang menang pada PRU14 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau kemudian dikatakan dipecat parti itu sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.