ALOR SETAR - Sebanyak 564 mesin bitcoin dirampas dalam serbuan di 14 premis sekitar daerah Kota Setar di sini pada Khamis lepas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan menerusi Ops Letrik dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama Team Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Utara.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan ke atas premis yang menjalankan aktiviti mencuri arus eletrik untuk menjalankan kegiatan melombong bitcoin di kawasan Kota Setar.
"Hasil serbuan berjaya merampas sebanyak 564 mesin mining bitcoin dan menahan tiga lelaki warga tempatan.
"Hasil semakan mendapati dua individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPD Kota Setar, di sini, pada Selasa.
Beliau memaklumkan, ketiga-tiga individu terbabit didapati negatif dadah melalui ujian saringan air kencing dijalankan ke atas mereka.
Tambahnya, siasatan mendapati kegiatan mencuri arus elektrik untuk menjalankan kegiatan melombong bitcoin telah berjalan selama beberapa bulan.
Menurut beliau, pihak polis ada menerima makluman daripada orang awam bahawa kawasan perumahan atau tempat tertentu mengalami gangguan bekalan elektrik disyaki akibat perbuatan tersebut.
Katanya, pihak terbabit disyaki mengunakan modus operandi dengan memilih lokasi kurang perhatian dan memudahkan mereka menjalankan kegiatan melombong bitcoin yang beroperasi selama 24 jam.
Sehubungan itu, Fisol berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik.
Beliau menjelaskan, kesalahan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
"Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik, hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,"katanya.