SUNGAI BULOH -"Saya sebenarnya tidak tahu apa status hubungan arwah adik, Nur Farah dengan suspek yang ditahan pihak polis."
Demikian kata Mohd Farriza Azmi Abdullah abang kepada mangsa bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Status hubungan arwah Nur Farah dan lelaki yang ditahan pihak polis menjadi pertanyaan apabila ada pihak memuat naik di media sosial bahawa mangsa bukan kekasih lelaki tersebut.
Malah kenyataan itu turut menyatakan suspek sahaja yang 'tergila-gilakan' Nur Farah, sebaliknya arwah tidak berminat dengan lelaki tersebut.
Sinar Harian melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu ditemukan pada petang Isnin di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor.
Menurut Mohd Farriza Azmi, meskipun rapat dengan arwah adik, namun Nur Farah tidak pernah bercerita hal peribadi kepadanya.
Dalam pada itu, katanya, pihak keluarga masih menunggu laporan dan hasil siasatan pihak polis.