REMBAU - Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menjatuhi hukuman denda RM2,000 terhadap seorang lelaki atas kesalahan menceroboh sebuah rumah di Tampin, 12 tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Salleh Shaharil, 36, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Majistret turut menetapkan lima bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menceroboh sebuah rumah milik lelaki yang kini berusia 70 tahun di Desa Permai Tampin, kira-kira jam 12 tengah hari, 17 September 2012.
Sehubungan itu,tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Roslaili Alias.
Mengikut fakta kes, tertuduh menjadi orang yang dikehendaki selepas hasil siasatan mendapati terdapat beberapa cap jari yang dapat ditimbulkan di permukaan cermin sliding kaca di bahagian tepi rumah pengadu.
Pada 11 Julai lalu, kira-kira jam 10.15 pagi, tertuduh telah ditahan di tepi jalan hadapan Parol daerah Bahau di Jempol oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.
Pengadu menyedari kediamannya diceroboh kira-kira jam 1.30 tengah hari sebaik tiba di rumah dan mendapati pintu besar sebelah kiri telah terbuka serta keadaan dalam rumah berselerak.
Pengadu mendapati dua tabung dengan anggaran duit RM700 berserta pelbagai barangan emas yang dianggarkan bernilai RM7,000 dalam almari bilik utama telah tiada.