WASHINGTON - Bekas Presiden Donald Trump menghadiri Konvensyen Kebangsaan Republikan (GOP) pada malam Isnin, penampilan umum pertamanya sejak terselamat daripada cubaan bunuh pada hujung minggu lalu, lapor United Press International (UPI).
Trump memasuki konvensyen GOP di Forum Fiserv di Milwaukee dengan telinga kanannya berbalut ketika pemuzik Lee Greenwood menyanyikan lagu"God Bless the U.S.A."
Orang ramai bersorak.
Menerusi siaran langsung, bekas presiden itu dilihat bersalaman dengan Wakil Byron Donalds dari Florida, bekas pengulas berita Fox dan ahli teori konspirasi Tucker Carlson serta dua anak lelakinya, Donald Trump Jr. dan Eric Trump.
Beliau kemudian berdiri di samping calon naib presiden yang baru diumumkan, Senator JD Vance dari Ohio.
"Beliau hadir malam ini untuk menunjukkan keberanian dan keteguhannya terhadap individu yang cuba membunuhnya. Anda tidak akan dapat menjatuhkan beliau. Trump mempunyai keberanian dan kekuatan serta akan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya," kata Greenwood mengenai bekas presiden itu.
Telinga kanan Trump terkena tembakan peluru pada Sabtu, hanya beberapa minit selepas beliau memulakan ucapannya di perhimpunan di Pennsylvania.
Dalam insiden itu, seorang penonton terbunuh dan dua lagi cedera parah. Suspek yang dikenal pasti sebagai Thomas Matthew Crooks, 20, ditembak mati oleh penembak tepat Perkhidmatan Rahsia beberapa saat selepas cubaan bunuh gagal.
Ini adalah penampilan awam pertamanya sejak insiden itu dan dibuat selepas beliau secara rasmi dicalonkan di GOP sebagai calon Republikan bagi pilihan raya presiden pada November. - Bernama