BALIK PULAU - Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu pada 10 Julai lalu.
Tertuduh, Firdaus Farok, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menghalang seorang anggota polis berpangkat konstabel menjalankan tugas awamnya dengan tidak memberikan kerjasama semasa diperiksa dan memecut laju kenderaan ke hadapan Golden Triangle Dua di Jalan Datuk Ismail Hashim.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat persiaran Relau, Jalan Dato Ismail Hashim dalam daerah Barat Daya jam 8.05 pagi, pada 10 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Firdaus sebagai pemandu motovan juga didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai dan banyak lalu lintas.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, susur ke Bulatan Jalan Baru pada jam 7.45 pagi, 10 Julai lalu.
Oleh demikian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.
Timbalan Pendakwa Raya, P Lushani mencadangkan kadar jaminan masing-masing RM8,000 dan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani memohon jaminan dikurangkan atas alasan sudah tidak bekerja dan mempunyai dua orang anak.
"Sebelum ini, tertuduh bekerja namun sekarang, dia tiada pekerjaan. Tertuduh telah bercerai dan mempunyai dua orang anak.
"Kedua-dua anaknya itu tinggal bersama bekas isteri. Oleh demikian, saya mohon wang jaminan yang minimum diberikan kepada tertuduh," kata Farah Hamizah.
Huey Ting kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dan RM5,000 dan menetapkan 24 September depan sebagai tarikh serahan dokumen serta lantikan peguam.
Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan dirinya sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada jam 4 petang, 10 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan pengawasan polis untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun.
Huey Ting kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,200 sementara menunggu laporan kimia pada 24 September depan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah van selepas pemandu enggan memberhentikan kenderaannya dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Sebelum kejadian tersebut, sepasukan polis trafik telah membuat Ops Perdagangan di lebuh raya tersebut pada jam 8 pagi dan mendapati sebuah van dalam keadaan mencurigakan.
Polis cuba menahan kenderaan terbabit, bagaimapaun pemandu enggan mematuhi arahan itu lalu memecut laju kenderaannya.
Anggota polis terbabit telah mengejar kenderaan tersebut sehingga ke Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas dan terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan van apabila suspek cuba melanggar anggota polis sebelum kenderaan suspek terbabas di bahu jalan.