ALOR SETAR - Penahanan seorang lelaki bersama pistol dan peluru membongkar aktiviti pengedaran dadah di Taman Lam Foong di sini, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 52 tahun disyaki pengedar dadah ditahan dalam kawasan taman perumahan itu sekitar jam 6.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Kota Setar semasa rondaan cegah jenayah.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan lelaki itu telah menjumpai dua objek dipercayai pistol dan 48 butir peluru dalam poket seluar lelaki tersebut.
"Hasil tangkapan pertama itu membawa kepada serbuan dan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun kira-kira jam 9.30 malam pada hari sama di sebuah rumah di kawasan perumahan itu.
"Sebanyak 62 peket plastik dadah disyaki ketamin seberat 1381.61 gram, 40 foil aluminium pil eramin 5 seberat 113.82 gram dan 76 peket plastik mengandungi serbuk dadah jenis ecstasy seberat 989.18 gram dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM147,789.38 turut dirampas dalam operasi itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, pada Selasa.
Fisol memaklumkan, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Audi A4 dan sebuah televisyen jenama Hesense dengan nilai sitaan dianggarkan RM28,000 dipercayai diperoleh daripada aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai tujuh rekod lampau jenayah dan dadah, manakala lelaki warga emas tersebut tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut beliau lagi, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati suspek pertama positif methamphetamine.
"Suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.
"Bagi tangkapan kedua, kes disiasat di bawah Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39b(2) akta yang sama," katatnya.
Fisol berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 21 Julai depan.