Syarikat korporat tunai zakat lebih RM55 juta kepada PPZ-MAIWP

Iklan
Wakil syarikat menyerahkan zakat perniagaan kepada Abdul Hakim (kanan) disaksikan Mohd Na'im (tengah) pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 25 syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM55,457,640.75 kepada Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ini menunjukkan kesedaran menunaikan zakat dalam kalangan syarikat Muslim di negara ini semakin meningkat.

Iklan
Iklan

Di samping itu, ujarnya, ini juga menunjukkan hebahan menunaikan zakat mencapai sasaran dan diharapkan lebih banyak lagi syarikat-syarikat akan berbuat demikian pada masa akan datang.

"Diharapkan juga mesej berzakat ini dapat dipanjangkan kepada syarikat-syarikat lain agar dapat sama-sama kita memperkasakan lagi ekonomi masyarakat Islam di Malaysia secara amnya.

Iklan

"Dengan pelaksanaan ini, maka jelaslah bahawa setiap harta yang dizakatkan sentiasa berkembang dan penuh berkat, InsyaALLAH," katanya pada Majlis Zakat Korporat kepada PPZ-MAIWP di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada Selasa.

Wakil syarikat bergambar bersama pada majlis penyerahan zakat korporat PPZ-MAIWP

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Na'im mengulas lanjut berkata, sebanyak 16 peratus daripada kutipan pada tahun 2023 adalah daripada bayaran zakat perniagaan iaitu sebanyak RM165 juta.

"Saya yakin jumlah ini akan terus meningkat seiring dengan meningkatnya keuntungan syarikat dan juga difahamkan setakat Januari hingga Jun 2024, kutipan zakat PPZ- MAIWP meningkat.

"Peningkatan itu sebanyak 10.41 peratus iaitu RM511 juta berbanding RM462 juta dalam tempoh sama pada 2023 dan dari jumlah tersebut RM75 juta adalah daripada kutipan zakat perniagaan.

"Ini sekali gus membuktikan bahawa zakat terus dilihat sebagai kewajipan utama yang perlu dilaksanakan, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada penyumbang statistik kutipan ini," ujarnya.

Ujar Mohd Na'im lagi, usaha dan majlis dianjurkan PPZ-MAIWP ini wajar diketengah dan diwar-warkan bukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk.

"Sebaliknya ia sebagai salah satu inisiatif dakwah zakat untuk memberi kesedaran dan galakan kepada para usahawan di luar sana untuk turut menunaikan zakat ke atas perniagaan mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, PPZ-MAIWP turut menyediakan saluran wakaf secara dalam talian melalui www.wakafppz.com.my di mana orang ramai boleh memilih mana- mana projek untuk berwakaf.

PPZ-MAIWP turut menawarkan Skim Wakalah atau Pengembalian Semula Wang Zakat untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan.

Pembayaran zakat perniagaan serendah RM10,000 dan ke atas boleh mendapat pulangan semula wang zakat bermula 37.5 peratus sehingga 50 peratus untuk diagihkan sendiri kepada asnaf memerlukan.